Saturday, July 11, 2009

Melayu Majoriti Besar Malaysia - Bukan Melayu Bimbang


Bukan Melayu bimbang mereka hilang kuasa politik di Malaysia

Oleh : Jeman Sulaiman, Berita Harian Singapura

MASYARAKAT minoriti di Malaysia kian dihantui dilema kaum yang dikhuatiri menggugat kedudukan masa depan mereka di negara itu.

Tanda kebimbangan ini mula mencengkam kaum Cina dan India Malaysia menyusuli hasil banci penduduk terbaru yang menunjukkan kadar pertumbuhan mereka kian merosot sejak beberapa tahun lalu.

Tambahan penduduk majoriti Melayu dan bumiputera pula menimbulkan tanda tanya segera tentang kemungkinan kedua-dua kaum minoriti hilang kuasa politik kelak.

Mengikut banci penduduk Malaysia tahun lalu, kadar kelahiran kaum Cina dan India terus menurun.

Salah satu faktor utama dipercayai penghijarahan meningkat ke negara lain terutama melibatkan golongan muda kedua-dua kaum minoriti itu.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pernah prihatin akan kehilangan ramai bakat muda Cina dan India angkara Dasar Ekonomi Baru yang memberi layanan istimewa kepada kaum bumiputera.

Kerajaan Malaysia membanci penduduk setiap tempoh 10 tahun.

Kali ini, hasil banci mendapati jumlah penduduk Melayu dan bumiputera lain bertambah 4.5 peratus. Mereka kini membentuk 65.1 peratus daripada 23.27 juta penduduk Malaysia.

Jumlah penduduk Cina pula merosot daripada 28.1 peratus kepada 26.0 peratus, manakala kaum India daripada 7.9 peratus kepada 7.7 peratus.

Kejatuhan jumlah penduduk Cina dan India sejak merdeka dalam 1957 berpotensi menandakan penghakisan pengaruh politik kaum minoriti.

Kaum Cina selaku kelompok minoriti terbesar dengan 37 peratus dalam 1957 kini mendapati jumlah mereka merosot sehinggakan Persatuan Cina Malaysia (MCA) -- parti utama Cina -- cukup prihatin untuk memastikan kaum itu kekal berpengaruh dan mengimbangi kuasa politik menerusi kadar kelahiran tinggi.

Berdasarkan perhitungan MCA, kaum Cina mungkin setakat membentuk 20 peratus penduduk Malaysia menjelang 2020 dan hanya 13 peratus dalam 2100 jika kadar kelahiran mereka terus menjunam.

Bimbang kaum merosot

Presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri S. Samy Vellu, turut bimbang akan kemerosotan jumlah penduduk kaum India kerana ia akan mengurangkan suara politik mereka.

Beliau mendakwa kaum India sebelumnya membentuk 10.3 peratus penduduk Malaysia, sedangkan banci terbaru menunjukkan jumlah mereka merosot 2.6 peratus. Walaupun beliau mengakui sebab-sebab sosio-ekonomi mendorong keluarga kecil, merosotnya jumlah penduduk India bermakna kuasa politik mereka kian tipis.

Ketua statistik kerajaan, Datuk Shaari Abdul Rahman, menerangkan pertambahan penduduk bumiputera lebih berpunca daripada jumlah lebih ramai wanita Melayu berbanding kaum lain, termasuk tahap kesuburan lebih tinggi dan kecenderungan keluarga Melayu mempunyai ramai anak.

Banci terbaru juga menunjukkan jumlah umat Islam Malaysia meningkat daripada 58.6 peratus 10 tahun lalu kepada 60.4 peratus. Agama Buddha mempunyai penganut kedua terbesar (19.2 peratus) dengan diikuti Kristian (9.1 peratus) dan Hindu (6.3 peratus).

Jumlah keseluruhan penduduk Malaysia bertambah daripada 18.38 juta dalam 1991 kepada 23.27 juta sekarang. Perangkaan penduduk terbaru turut meliputi 1.38 juta orang asing -- termasuk pendatang sah dan haram -- di negara itu ketika banci tahun lalu.

Jumlah penduduk di kawasan bandar meningkat daripada 50.7 peratus dalam 1991 kepada 62 peratus.

Banci itu mendapati ramai penduduk Malaysia berkahwin lewat, dengan jumlah golongan bujang meningkat. Bagi lelaki, usia purata yang berkahwin naik daripada 28.2 tahun dalam 1991 kepada 28.6 tahun. Di kalangan wanita, kenaikan usia kakwin meningkat daripada 24.7 tahun kepada 25.1 tahun.

Malah, banci kali ini mendedahkan lebih ramai lelaki berbanding wanita di Malaysia -- 104 lelaki bagi setiap 100 wanita. Trend warga tua juga bertambah, terutama yang berusia 65 tahun dan ke atas -- bertambah daripada 3.7 peratus kepada 3.9 peratus.

Mungkin kerana bimbangkan kejatuhan lanjut penduduk Cina, MCA menggalakkan usaha menemukan jodoh secara besar-besaran.

Akhbar New Straits Times (NST) melaporkan MCA menubuhkan 'Kelab-Kelab Temu Jodoh' di seluruh negara sejak Julai lalu bagi menyediakan tempat berkenalan lelaki dan wanita bujang China.

Perintis kelab itu, Dr Ng Yen Yen, yang juga ketua Pergerakan Wanita MCA, membayangkan 60 pasangan yang ditemukan akhirnya berkahwin.

"Kami bercita-cita menganjurkan perkahwinan beramai-ramai sempena ulang tahun pertama kelab yang bererti meningkatnya jumlah penduduk kaum Cina," ujarnya.

Beliau menekankan peri pentingnya dari segi politik memastikan jumlah penduduk kaum Cina terus tinggi. Namun, beliau akur kejatuhan penduduk Cina tidak wajar dilihat semata-mata isu kaum, tetapi juga masalah nasional.

"Isu ini melibatkan kepentingan nasional kerana kemerosotan penduduk Cina bermakna kejatuhan daya produktiviti," katanya.

Lebih membimbangkan kaum minoriti ialah tanggapan meluas terakhir ini tentang kebangkitan Islam di Malaysia. Walaupun majoriti penduduk Malaysia umat Islam, agama lain bebas diamalkan.

Dr Mahathir telah mengulangi jaminan hak bukan Melayu tetap tidak terancam walaupun Islam berperanan penting di Malaysia.

Beliau mempertahankan dasar kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno bagi memastikan semua kaum mendapat layanan setara.

Dalam pertemuan dengan masyarakat peniaga Cina baru-baru ini, beliau cuba meyakinkan kaum itu agar tidak gusar oleh kenyataan kerajaan bahawa Malaysia ialah negara Islam. Dr Mahathir menasihatkan hak kaum minoriti mengikut perlembagaan Malaysia tidak mudah dirampas.

"Hak anda tetap terpelihara. Kerajaan tidak berniat mendiskriminasi bahawa bukan Islam tiada bertempat atau kebebasan," ujarnya.

Beliau mengingatkan usahawan Cina yang menguasai ekonomi negara itu supaya terus membantu pemulihan Malaysia dari kegawatan.

"Selama ini, anda menikmati kemakmuran di Malaysia sebagai negara Islam. Kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan masyarakat Cina," tambahnya.

Dr Mahathir menjelaskan kenyataan kerajaan bahawa Malaysia diakui sejagat sebagai negara Islam sederhana semata-mata demi menangkis dakwaan pembangkang Parti Islam (PAS).

Jaminan hak

"Saya harap masyarakat Cina tidak lagi khuatir tentang kenyataan ini. Usahlah menyangka kerajaan akan membuat sesuatu yang akan mengikis hak anda," katanya.

Dr Mahathir terpaksa beberapa kali menyatakan bahawa Malaysia sebuah negara Islam setelah PAS mendakwa kononnya pelaksanaan sistem Islam oleh kerajaan setakat ini belum mencukupi. Sebaliknya, beliau menuduh PAS sengaja cuba memperdaya golongan bukan Islam tanpa menetapkan dengan nyata jenis pemerintahan Islam sebenar yang dinginkannya.

"Saya syak negara Islam yang diinginkannya serupa ajaran Taleban di Afghanistan, dengan wanitanya dipaksa tutup dari kepala hingga ke kaki, dinafikan pendidikan, dan bukan Islam ditindas," katanya.

PAS kini memerintah dua daripada 13 negeri di Malaysia -- Kelantan dan Terengganu.

Dr Mahathir memberi amaran kerajaan tidak akan teragak-agak bertindak tegas terhadap pelampau agama kerana tidak mahu rakyat Malaysia didiskriminasikan serupa di Afghanistan di bawah Taleban.

"Kerajaan akan menentang habis-habisan golongan yang menggunakan Islam untuk kepentingan tertentu," katanya.

Beliau yakin kerajaannya telah memerintah Malaysia mengikut cara Islam yang betul. Perlembagaan Malaysia menetapkan negara itu sekular walaupun Islam menjadi agama rasmi.

Walaupun pernah berlaku rusuhan kaum paling berdarah dalam 1969, Dr Mahathir dan pemimpin kerajaan telah berupaya mengimbanginya dengan kepentingan kaum dan agama lain.

Selama 20 tahun berkuasa, Dr Mahathir dan Kerajaan BN mengutamakan pembangunan ekonomi untuk menjadikan Malaysia salah sebuah negara moden dan maju di Asia.

"Di Malaysia, semua kaum hidup harmoni dan bekerjasama. Keadaan ini patut dikekalkan," tegasnya.

Isu kaum dan agama dianggap sensitif di Malaysia yang penduduknya majmuk.

Terakhir ini, Umno dan PAS bersaing sengit bagi memenangi sokongan Melayu menjelang pilihan raya umum mendatang, dengan masing-masing membentangkan visi negara Islam tersendiri bagi Malaysia.

PAS telah meraih sokongan meningkat di kalangan pengundi negeri-negeri majoriti Melayu sewaktu pilihan raya umum 1999 dan sering mengulangi ikrarnya untuk menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia jika terpilih berkuasa.

Perjuangan PAS itu telah menyebabkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berteras Cina keluar dari perikatan pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA) yang dikuasai PAS.


No comments:

Post a Comment